Siang itu ku duduk berhamparkan debu,
bertungkus agar diri tidak jatuh,
dikala sekeliling menjadi gelap,
dikala matahari semakin malap.

Si Teja keluar menjual bunga,
si Tuah gelupur rakus membeli.
Lampuan palsu rancak mengerlip.
Si buncit galak menelan, meneguk.

***

Kelabu selubung pepohon batu,
kuning menghambur aliran kali,
tempik mengabur kicauan burung,
terasa kepedihan, keseksaan dirasai bumi.

***

Si Teja memerah, menyusu anak,
si Tuah berkerah, berbeban, berpeluh,
harapan palsu rancak berbisik.
Si buncit galak membolot, merodok.

Sesekali ku mengintai, melihat,
berfikir untuk menidak,
berazam untuk mengelak,
menjadi musafir dilaman sendiri.

Malam itu ku duduk berhamparkan rumput,
berlumus agar tidak gelincir,
dikala sekeliling sudah gelap,
dikala matahari telah padam.

Sebuah penghargaan buat seorang seniman.

Advertisements